Tuesday, December 9, 2008

DOA

Doa adalah inti ketaatan dan kepatuhan. Doa adalah mutiara ibadah dan bukti pengabdian, penghambaan serta keimanan manusia. Hukum berdoa adalah fardu ‘ain (wajib).

Rasulullah s.a.w bersabda:

“Doa adalah ibadah dan doa adalah sumsum ibadah.” (Hadith riwayat Abu Daud dari Annu’man bin Basyir)

Didalam surah Al Mu’min ayat 60 Allah s.w.t berfirman:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ
عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Rasulullah s.a.w. mengungkapkan lebih lanjut tentang pentingnya berdoa sehingga baginda bersabda:

“Barangsiapa tidak memohon kepada Allah, maka Allah murka kepadanya.” (Hadith Ahmad)

Berdoa adalah tanda dan bukti keimanan, bahkan doa itu sendiri adalah keimanan. Mengenai hal ini Ibnu Abbas r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

“Doamu adalah keimananmu.”

Doa merupakan tanda penyembahan dan kebaktian hamba Allah (makhluk yang lemah dan tidak berdaya) ke hadapan Rabbnya yang Maha Pencipta. Doa merupakan tanda bahawa kita berserah diri kepada-Nya. Tatkala berdoa kita memohon dengan rasa rendah diri agar keinginan dan harapan dapat tercapai, terkabul dan terlaksana. Melalui doa itulah kita memohon agar Allah s.w.t memberkati dan meredhai usaha kita.

Tidak ada sesuatu dalam kehidupan ini yang lebih utama bagi Allah melebihi doa sesorang hamba kepada-Nya. Oleh kerana itu Islam menjadikan doa sebagai tanda ketaatan dan ibadah yang paling utama.

Shalat adalah doa dan doa adalah Shalat. Dengan melakukan shalat bererti kita mengagungkan Allah dan mengakui bahawa tiada sesuatu yang lebih besar dan agung selain Allah. Di dalam shalat kita juga bertasbih mensucikan Allah dari segala kelemahan dan kekurangan. Shalat juga merupakan pengakuan hamba atas keesaan Allah dan pengakuan diri bahawa tiada sekutu bagi-Nya serta merupakan pernyataan syukur tahmid kepada Allah.

Di dalam Al-Quran Allah s.w.t. menjelaskan manfaat, pahala dan cara-cara berdoa, yakni dalam ayat-ayat-Nya:

قُلِ ادْعُواْ اللّهَ أَوِ ادْعُواْ الرَّحْمَنَ أَيًّا مَّا تَدْعُواْ فَلَهُ
الأَسْمَاء الْحُسْنَى وَلاَ تَجْهَرْ بِصَلاَتِكَ وَلاَ تُخَافِتْ بِهَا
وَابْتَغِ بَيْنَ ذَلِكَ سَبِيلاً

"Katakanlah: Serulah nama Allah atau Ar-Rahman, yang mana sahaja kamu serukan; kerana bagi-Nyalah nama-nama yang baik Dan janganlah kamu menyaringkan bacaan solatmu, dan janganlah kamu perlahankannya, dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana antara itu." (Surah Al-Israa': 110)

وَلِلّهِ الأَسْمَاء الْحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا وَذَرُواْ الَّذِينَ
يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَآئِهِ سَيُجْزَوْنَ مَا كَانُواْ يَعْمَلُونَ

"Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik, maka serulah kepada-Nya dengan nama-nama itu, dan pulaukanlah orang yang berpaling dalam masa menggunakan nama-nama-Nya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan." (Surah AL-A'raaf: 180)

هُوَ الْحَيُّ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ فَادْعُوهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ
الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

" Dialah Yang Hidup; tiada Tuhan melainkan Dia; maka sembahlah Dia dengan mengikhlaskan ketaatan Kepada-Nya. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. " (Surah Ghaafir: 65)

Allah s.w.t. mengajarkan dan mendidik bagaimana cara yang sebaiknya kita lakukan untuk menyembah dan bermohon kepada-Nya. Hal ini diungkapkan Allah dalam firman-firman-Nya:

ادْعُواْ رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً إِنَّهُ لاَ يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

"Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas." ( Surah AL-A'raaf: 55)

Maksud “melampaui batas” dengan ayat diatas adalah melampaui batas tentang apa yang diminta dan cara meminta.

وَلاَ تُفْسِدُواْ فِي الأَرْضِ بَعْدَ إِصْلاَحِهَا وَادْعُوهُ خَوْفًا
وَطَمَعًا إِنَّ رَحْمَتَ اللّهِ قَرِيبٌ مِّنَ الْمُحْسِنِينَ

"Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang dan penuh pengharapan. Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang berbuat baik." ( Surah AL-A'raaf :56)

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ
الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُواْ لِي وَلْيُؤْمِنُواْ بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

"Dan apabila hamba-Ku bertanya padamu tentang Aku maka (jawablah): sesungguhnya Aku amat hampir; Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku, dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik dan betul." ( Surah Al-Baqarah: 186)

Berdoa itu sangat baik dan membawa berkat serta manfaat. Apa yang diharapkan, berbunga dan berbuah.

Allah s.w.t. memerintahkan kita agar selalu memohon terus kepada-Nya tanpa perantara. Allah berfirman:

أَمَّن يُجِيبُ الْمُضْطَرَّ إِذَا دَعَاهُ وَيَكْشِفُ السُّوءَ
وَيَجْعَلُكُمْ خُلَفَاء الْأَرْضِ أَإِلَهٌ مَّعَ اللَّهِ قَلِيلًا مَّا تَذَكَّرُونَ

"Atau siapakan yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila ia berdoa kepada-Nya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti menguasai bumi? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit di antara kamu yang mengingati." (Surah An-Naml; 62)

Katakanlah kepada orang-orang musyrik:

قُلْ مَا يَعْبَأُ بِكُمْ رَبِّي لَوْلَا دُعَاؤُكُمْ فَقَدْ كَذَّبْتُمْ فَسَوْفَ يَكُونُ لِزَامًا

"Katakanlah (wahai Muhammad kepada golongan yang ingkar): Tuhanku tidak akan menghargai kamu kalau tidak adanya doa ibadat kamu kepada-Nya, kerana itu, maka sesungguhnya kamu telah pun menyalahi (ketetapan Tuhanku); dengan itu, sudah tentu balasan azab akan menimpa kamu." (Surah Al-Furqaan: 77)

Sesungguh amat mulia apa yang dilakukan Rasulullah s.a.w. Sepanjang hidupnya baginda mengajar kepada pengikutnya wahyu Allah yang diturunkan kepadanya.

Rasulullah s.a.w. bersabda tentang Allah:

“Allah Pemalu dan Pemurah. Dia malu apabila hamba_nya mengangkat kedua tangannya (berdoa dan memohon) lalu dibiarkannya tanpa diberikan kebaikan.”

Rasulullah s.a.w. juga bersabda:

“Barangsiapa membuka bagi dirinya pintu doa, Allah nescaya membuka baginya pintu-pintu rahmat.”

Rasulullah s.a.w. berpesan kepada pengikut-pengikutnya agar giat berdoa dengan sepenuh hati, penuh harapan dan keyakinan.

Dari Al-Quran dan Assunnah kita juga mengetahui bahawa doa berguna bagi mereka yang masih hidup maupun bagi yang sudah mati.

Firman Allah:

فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاسْتَغْفِرْ لِذَنبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِينَ
وَالْمُؤْمِنَاتِ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مُتَقَلَّبَكُمْ وَمَثْوَاكُمْ

"Maka ketahuilah bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan mintalah ampun bagi dosamu dan bagi orang yang beriman lelaki dan perempuan; dan Allah mengetahui akan keadaan gerak-gerimu di dunia dan keadaan penetapan kamu di akhirat." (Surah Muhammad: 19)

Namun tidak menjadi kemestian bahawa doa kita pasti dikabulkan oleh Allah s.w.t. Seorang hamba Allah tidak dapat mengetahui dengan pasti hal-hal yang ghaib kerana memang yang mengetahui urusan ghaib hanyalah Allah s.w.t. Kerana itu agar kita mengetahui dengan jelas mengenai perihal pengabulan doa tersebut, Rasulullah s.a.w. bersabda (yang diriwayatkan Abi Said Alkhudari):

“Tiada seorang muslim berdoa memohon kepada Allah yang isi doanya tidak mengandungi dosa atau mengarah kepada pemutusan hubungan kekeluargaan, kecuali Allah memberi baginya salah satu dari tiga hal: (1). Segera dikabulkan doanya: (2). Disimpan untuk diberikan kepadanya kelak di akhirat: (3). Atau kerana doanya itu maka Allah menjauhkan dia dari kesulitan dan malapetaka lain yang serupa.”

Mendengar sabda ini, para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, kalau demikian, kita perbanyakkan doa? Rasulullah menjawab: “Allah lebih banyak mengabulkan.”

Harus kita sedari, salah satu syarat dikabulkannya doa adalah tidak minta agar cepat-cepat terkabul dan tidak berkeluh-keluh.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Dikabulkan doa seorang selama dia tidak tergesa-gesa berkata, “Aku berdoa tetapi tidak terkabul,” lalu dia kesal hati dan meninggalkan doa.”

Salah satu syarat dikabulkannya doa adalah makanan, minuman, dan pakaian harus dari hasil usaha yang halal. Apabila dari yang haram maka doa-doanya jauh dari terkabul (susah/sukar dikabulkan Allah).

Seorang sahabat, Sa’ad bin Abi Waqqas r.a. berkata kepada Rasulullah s.a.w., “Ya Rasulullah, mohonkanlah kepada Allah agar aku dijadikan seorang yang selalu terkabul doanya.” Rasulullah s.a.w. lalu menjawab, “Wahai Sa’ad, jadikanlah makananmu dari yang baik (halal) agar doa-doamu terkabul. Demi (Allah) yang jiwa Muhammad si tangan-Nya, seseorang melemparkan sesuap makanan haram ke perutnya maka doanya tidak akan terkabul selama 40 hari dan daging yang tumbuh dari makanan haram sesungguhnya, api neraka lebih utama membakamnya.”

Syarat lain terkabulnya doa ialah tidak memohon untuk memperolehi yang haram atau yang mustahil dapat dicapai, sebab yang demikian menandakan kurangnya kesopanan sikap dan perbuatan kepada Allah s.w.t

Beberapa Ulama berpendapat bahawa seseorang yang teraniaya (dizalimi) boleh berdoa terhadap perilaku orang yang menzaliminya. Dia boleh berdoa agar Allah membalas, menghukum dan menyeksa si pelaku kezaliman, tetapi dia tidak boleh menetapkan cara dan macam pembalasan hukuman dan penyeksaan tersebut. Dia juga dapat berdoa agar dia diselamatkan dari kezaliman.

Berdoa juga harus dilakukan dengan kesponan dan adab kerana doa adalah rahsia hamba dengan Al-Khaliq, Penciptanya.

Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Abu Musa r.a. Ketika ghazwat (perang) Khaibar, Rasulullah s.a.w. melihat sekumpulan kaum muslimin berdoa dan berzikir dengan suara keras. Lalu Rasulullah s.a.w. melarang mereka dengan sabdanya:

“Wahai orang-orang (yang hadir) kasihanlah dirimu (Lunakkan suaramu). Sesungguhnya kamu tidak memohon kepada yang tuli atau yang jauh. Yang kamu seru adalah Maha Mendengar, dekat dan selalu bersama kamu.”

Jika berteriak beramai-ramai di surau atau masjid dengan suara keras dalam berzikir dan berdoa adalah perbuatan yang tidak baik dan terlarang. Berdoa dalah ibadah (tidak terikat) dan bukan ibadah (terikat). Ertinya, berdoa itu tidak terikat waktu dan bilangan tertentu, seperti lepas shalat, puasa dan haji. Seorang boleh berdoa disegala waktu terutama pada waktu-wktu terpilih dan terpuji (Afdal), seperti Lailatul Qadar, malam Jumaat dan hari Jumaat, hari wukuf Arafah, malam terakhir pada tiap malam (sebelum fajar), atau waktu sujud sebagaimana yang disabdakan Rasulullah s.a.w (yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah):


“Paling dekat seorang hamba kepada Tuhannya dikala ia sujud, maka perbanyaklah doa.” (Hadith At. Tarmizi dan Al Hakim)

Pada waktu sujud Rasulullah membaca doa:

“Ya Allah, aku berlindung kepada pengampunan-Mu dari seksa-Mu, dan aku berlindung kepada reda-Mu dari murka-Mu, dan aku berlindung kepada-Mu dari (segala tindakan)-Mu. Aku tidak menghitung syukur kepada-Mu, dan sebagaimana kesyukuran-Mu terhadap diri-Mu.”

Di waktu sujud sesudah membaca tasbih kita dibolehkan memperpanjangkan sujud dengan mengucapkan doa-doa. Kalau dengan menggunakan bahasa selain bahasa Al-Quran cukup berdoa dalam hati kerana Allah s.w.t mengetahui segala kandungan hati.

يَعْلَمُ خَائِنَةَ الْأَعْيُنِ وَمَا تُخْفِي الصُّدُورُ

"Allah mengetahui pengkhianatan pandangan mata seseorang, serta mengetahui akan apa yang tersembunyi di dalam hati." ( Surah Ghaafir: 19)

Berdoa bukan hanya ketika ditimpa kesulitan, kesusahan atau musibah saja, tetapi juga ketika dalam kesenangan dan kebahagian. Kita harus memperbanyakkan syukur dan doa agar bila suatu masa ditimpa kesudahan, doa kita terkabul.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Barangsiapa ingin agar Allah mengabulkan doanya ketika ia dalam kesulitan, hendalah ia memperbanyakkan doa di waktu dalam kesenangan.”

Diantara syarat-syarat lain dikabulkannya doa adalah berdoa dengan khusyuk, dengan menghadirkan hati dan tekun. Sangat tidak terpuji (janggal) bila seorang mengucapkan doa tetapi hatinya lalai dan fikirannya melayang.

Diriwayatkan dari Jabir r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Aku beritahu kamu tentang apa yang dapat menyelamatkan kamu dari musuhmu dan memperlancar rezeki bagimu. Mohonlah kepada Allah pada malam dan siang hari, sesungguhnya doa adalah senjata seorang mukmin.”

Tidak hanya dengan berdoa saja dapat dicapai kejayaan dan kemenangan. Disamping berdoa, kita juga harus bersabar dan tabah dalam mengatasi kesulitan hidup, berusaha dan berkerja untuk mencapai segala hasil dan kemenangan, sebagaimana yang diperintahkan Allah dalam firman-Nya:

وَاسْتَعِينُواْ بِالصَّبْرِ وَالصَّلاَةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلاَّ عَلَى الْخَاشِعِينَ

"Dan mintalah pertolongan dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali orang yang khusyuk;" (Surah Al-Baqarah: 45)

Maksud ayat diatas adalah agar sabar, tabah, tekun dan berdoa kita jadikan sebagai penolong bagi segala usaha, upaya kerja dan perjuangan kita.

Seseorang dapat berbakti kepada kedua orang tuanya, baik yang masih hidup mahupun yang sudah mati dengan selalu berdoa untuk mereka:

“Ya Rabbku, ampunilah dosa-dosaku dan dosa-dosa kedua orang tuaku dan kasihanilah mereka sebagaimana mereka telah mengasuh dan mendidik aku sejak kecil dengan kasih sayang.”

Menurut petunjuk Rasulullah s.a.w. doa seorang anak yang soleh baik lelaki mahupun perempuan sangat berguna dan terkabul bagi kedua orang tua yang telah wafat. Begitu pula doa sesama orang-orang yang beriman, sebagaiman firman Allah:

وَالَّذِينَ جَاؤُوا مِن بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا
وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا
غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَؤُوفٌ رَّحِيمٌ

"Dan orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka berdoa: Wahai Tuhan kami! Ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami rasa dengki terhadap orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas Kasihan dan Rahmat-Mu." (Surah Al-Hasyr: 10)

Al-Quranul Karim menjelaskan cirri-ciri orang yang doanya terkabul, yakni terdapat dalam ayat berikut:

فَاسْتَجَبْنَا لَهُ وَوَهَبْنَا لَهُ يَحْيَى وَأَصْلَحْنَا لَهُ زَوْجَهُ إِنَّهُمْ
كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا
وَكَانُوا لَنَا خَاشِعِينَ

"Maka Kami perkenankan doanya, dan Kami kurniakan kepadanya Yahya, dan Kami perelokkan keadaan isterinya, untuk melahirkan anak baginya.sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada Kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula sentiasa khusyuk dan taat kepada Kami." (Surah Al-Anbiyaa': 90)

Kandungan makna “bersegera” dalam ayat diatas adalah bersegera dalam mengerjakan kebaikan dan bukan dari orang yang berusaha berbuat kekacauan, kejahatan dan kekejian, merugikan orang lain, merosak lingkungan hidup dan melanggar peraturan serta hokum-hukum Allah. Bersegera dalam mengerjakan perbuatan perbuatan yang baik merupakan bahagian penting dari keimanan kerana itu merupakan realisasi keimanan kepad pahala, balasan akhirat,, kpada kemampuanan dan Takdir Allah s.w.t.

Oleh: H.A.AZIZ SALIM BASYARAHIL
(PEN. KINTAN S/B)

No comments: