Tuesday, February 3, 2009

Tafsir Al-Azhar (Juzu’ 24): Surah Al- Ghaafir/Surah Al-Mu’min : 60


“Dan bersabda Tuhan kamu: “Berserulah kepadKu, niscaya akan Aku perkenankan bagimu.” (pangkal ayat 60).

Apabila dibaca al-Quran dengan teliti, dengan hati iba dan menyerah, serta diketahui pula isinya, kita baca urutan ayat-ayat tadi, memang terasalah kecilnya diri kita ini di hadapan Kebesaran Allah. Timbul takut dan cemas! Terasa belum ada artinya amalan kita dibandingkan dengan nikmat yang kita terima. Banyak kesalahan dan kelalaian selama ini. Lalu timbul pertanyaan, masihkah aku ini akan diterima Tuhan sebagai hambaNya yang berarti?

Maka datanglah ayat Tuhan memuaskan dahaga jiwa dan pertanyaan hati iba itu. “Berserulah kepadaKu, niscaya akan Aku perkenankan bagimu.” Berserulah, berdoalah, memohonlah dan hamparkanlah sayap penghargaan yang tidak pernah putus.

Seruan kepada Allah, munajat atau doa mempunyai beberapa adab yang mesti dijaga. PERTAMA: hendaklah ikhlas hati kepadaNya semata-mata, tidak teringat yang lain sama sekali dan langsung! KEDUA: percaya bahawa permohonan niscaya akan dikabulkan. KETIGA: menanam kepercayaan penuh bahawa bertawajjuh berdoa adalah taufiq atau bimbingan dari Allah sendiri yang keuntungannya pertama ialah memperdekat diri kepadaNya. Adalah terkabulnya doa adalah kurnia kedua.

Ahli-ahli ilmu jalan ke akhirat menunjukkan pula pengalaman lain dalam hendak menyusun doa. Hendaklah terlebih dahulu ditanamkan ma’rifat kepada Allah. Mengingat kelemahan kita dan kekuatanNya, kehinaan kita dan kemulianNya, kemiskinan kita dan kekayaanNya. Tahu dimana kita dan dimana Dia. Kita memohon dari bawah, Dia member dari atas; Dia Tuhan kita hamba. Dia Khaliq kita makhluk.

Yang kedua hendaklah sesudah ma’rifat itu tumbuh dengan suburnya rasa cinta kepadaNya. Cinta sangat mendalam, sehingga kepentingan diri tidak diingat lagi, yang diingat hanya perintahNya dan laranganNya. Bahkan yang dingat hanyalah Dia. Bilamana cinta telah mendalam, apa saja yang diberikan oleh Yang Dicintai itu diterima dengan tangan dan hati terbuka. Di suruhnya pergi dicegahnya berhenti. Tidak diberiNya pun tidak apa-apa.

Permohonan atau doa yang paling buruk ialah jika Allah dijadikan sebagai “Jembatan” saja untuk menuju suatu keinginan. Bila keinginan telah tercapai, Allah pun dilupakan.

Dan janganlah gelisah atau mengeluh jika diminta tidak lekas terkabul. Kerana yang demikian itu adalah tanda bukti bahawa ma’rifat kepada Allah belum ada. Yang ada barulah mementingkan diri sendiri.

Maka tersebutlah didalam suatu riwayat (atsaar) atau Hadis bahawa adalah seorang hamba Allah datang menghadap menadahkan tangannya berdoa memohon sesuatu. Setelah mendengar bunyi doanya, bersabdalah Tuhan kepada malikat: “Beri apa yang diminta oleh hambaKu itu, tetapi jangan lekas-lekas diberikan. Kerana Aku senang sekali mendengarkan doanya.”

Lalu mendoa pula hamba yang lain, Maka bersabdalah Tuhan kepada malikat: “Berikan lekas apa yang dimintanya, biar dia segera pergi. Kerana aku tidak senang mendengarkan suaranya.”

Menurut sebuah Hadis yang dirawikan oleh Termidzi dan lain-lain yang diterima dengan sanadnya dari Abdullah bin Mas’ud:

“Berkata Rasulullah s.a.w.: “Barangsiapa yang ingin gembira bahwa Allah akan mengabulkan permohonannya di waktu dalam kesulitan, hendaklah dia memperbanyak doa diwaktu dia dalam kelapangan.”

Lanjutan: “Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari beribadat kepadaKu.” Artinya bahawa dia terlalu percaya kepada diri sendiri, sehingga tidak ingat lagi hendak berhubungan dengan Allah, tidak beribadat, tidak bermunajat, tidak bertawakkal, tidak cinta dan tidak ridha: “Akan masuklah mereka ke dalam neraka jahannam dalam keadaan hina-hina.” (ujung ayat 60)

Orang biasa takabbur, sombong, angkuh seketika badannya kuat, hartanya banyak atau mendapat kekuasaan tertinggi. Mereka kerapkali lupa bahawa hari tidaklah panas terus; panas berganti dengan hujan. Taufan berganti dengan angin tenang. Dan angin tenang pun akan berganti dengan angin taufan. Ombak di laut dapat membawa pasang naik, dan juga pasang surut. Kalau manusia ingat pergantian keadaan, tidaklah dia akan sombong.

Maka tersebutlah di dalam sebuah riwayat dari Ibnu Abi Hatim, yang diterimanya dan dari Ali bin Husain, dan dia ini menerimanya pula dari Abu Bakar bin Muhammad bin Yazid bin Khunais, bahawa Abu Bakar ini mendengar dari ayahnya menerima berita dari Wuhaib bin Alward, bahawa ada seorang Islam ditawan dalam satu peperangan di negeri Rum. Tiba-tiba sedang dia kesepian dalam tawanan itu kedengaran olehnya satu suara bersipongang dari lereng gunung, begini bunyinya:

“Ya Tuhanku! Heran aku, kerana ada orang yang mengaku kenal kepada Engkau;

Mengapa ia mengharapkan sesuatu dari yang selain Engkau?

Ya Tuhanku, heran aku; ada orang yang mengaku mengenal kepada Engkau;

Mengapa dia mengeluh mengadukan halnya kepada yang selain Engkau!

Mendengarkan suara yang tidak dari mana datangnya itu, terasalah malapetaka besar itu akan datang.

Tiba-tiba terdengar sekali lagi:

“Ya Tuhanku! Heran aku mengapa orang yang mengatakan mengenal kepada Engkau, padahal diperbuatnya perbuatan yang menimbulkan murkaMu, kerana mengharapkan ridha orang lain....”

Lalu kata orang yang mendengar suara itu: “Lalu aku panggil dia! Hai yang empunya suara dan seruan, jinkah engkau atau manusia?”

“Saya adalah manusia”, JAWABNYA. Dan katanya pula: “Tidak perlu engkau selidiki siapa aku, cukuplah engkau persiapkan dirimu sendiri denagn ma’rifat....”

“Sesungguhnya Allah benar-benar mempunyai kurnia atas manusia; akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.” (Ujung ayat 61)

No comments: